Perodua menyerang lagi pasaran automotif tempatan dengan pelancaran model terbaru mereka, Perodua Alza. Sebelum pelancaran Perodua Myvi pada tahun 2005, pasaran automotif tempatan telah bertahun-tahun dikuasai oleh Proton. Namun pengenalan model Myvi dari Perodua telah menyebabkan pasaran proton terhakis sedikit demi sedikit. Sehingga November 2009 yang lalu, Proton masih gagal menguasai kembali pasaran yang pernah ditawannya dahulu. Kali ini dengan pengenalan Alza, adakah Proton akan menerima nasib yang sama sewaktu Myvi diperkenalkan dahulu?
Sesuatu yang tidak dapat disangkal ialah tempahan demi tempahan terhadap Alza semakin meningkat sejak model tersebut dipertontonkan kepada umum sejak 23/11/2009 baru-baru ini. Manakala tempahan terhadap model Exora dari Proton telah menunjukkan trend penurunan, sesuatu yang telah diakui oleh pihak Proton sendiri. Sebelum itu, Proton telah bertindak balas terlebih dahulu sebelum Alza dikeluarkan, iaitu dengan melancarkan model Exora versi Manual (Base-line Model). Dengan harga serendah RM57,548.00, Proton mengharapkan Exora versi Basic tersebut akan dapat sekurang-kurangnya masih mampu menarik pembeli baru, setidak-tidaknya dapat mengekang sedikit penguasaan Perodua dalam pasaran MPV.
Berdasarkan maklum balas yang diterima dari bakal pembeli-pembeli kenderaan baru, Perodua Alza telah menjadi pilihan kepada mereka jika dibandingkan dengan Exora. Trend pembelian kenderaan penumpang di Malaysia tidak dapat dinafikan banyak dipengaruhi oleh faktor harga. Perodua bijak kerana mengeluarkan varian Alza yang berharga semurah RM 55,490.00. Namun oleh kerana pengenalan model Exora Basic dari Proton, kita tidak dapat menjangka sejauh manakah harga tersebut masih dapat menarik pembeli untuk membeli Alza. Secara matematiknya, adalah lebih berbaloi untuk membeli Exora Basic daripada Alza, tetapi lihat apa yang tejadi kepada Proton Persona, sebuah sedan yang lengkap untuk kegunaan individu mahupun keluarga, namun masih gagal untuk menyaingi populariti Myvi.
Proton, seperti yang sudah diketahui umum, telah beberapa kali melakukan kesilapan dalam mengeluarkan model-model baru mereka. Pertama sekali apabila mereka mengeluarkan model Proton Tiara untuk bersaing dengan Perodua Kancil, model tersebut jauh sekali untuk menjadi model yang memberi nilai pulangan yang baik terhadap pembeli. Sukar untuk dibayangkan yang Proton sanggup mengeluarkan sebuah model yang asalnya dari jenama Citroen, tanpa meneliti terlebih dahulu sama ada model tersebut berbaloi untuk dijual kepada pembeli setia mereka. Sebuah kereta model Eropah sebenarnya tidak sesuai untuk dijual atas nama Proton, namun itulah yang dilakukan oleh Proton. Ramai pembeli Tiara yang menanggung kerugian besar kerana harga alat ganti yang mahal, model yang tiada daya tahan, malah harganya yang merudum jatuh selepas itu memburukkan lagi keadaan. Seperti tiada keikhlasan daripada Proton apabila mengeluarkan model Tiara, mungkin hanya kerana mereka menyedari bahawa rakyat Malaysia akan membeli apa saja jenis kereta, asalkan dibuat atas nama Proton. Proton dilihat cuba mengambil kesempatan terhadap pembeli-pembeli kereta mereka, tanpa memikirkan kesan yang bakal ditanggung oleh mereka.
Selepas kegagalan model Tiara di pasaran, Proton sekali lagi melakukan kejutan dalam dunia automotif tempatan. Pengenalan model Proton Juara dalam pasaran telah dilihat sebagai kesinambungan daripada kesilapan Proton sebelum itu. Dengan pelancaran model Juara, Proton dilihat semakin hilang fokus dalam memberi apa yang terbaik untuk rakyat Malaysia. Seperti yang dijangka, Proton Juara telah gagal di pasaran seawal dari hari pelancaran lagi. Sehingga kini adalah amat sukar untuk melihat Proton Juara masih bergerak di atas jalan. Kegagalan model Juara seperti yang dipersetujui oleh banyak pihak adalah kerana rupa bentuk yang pelik dan tidak menepati selera pembeli, apatah lagi untuk bersaing dengan model-model lain yang lebih cantik. Paling membingungkan ialah siapakah di dalam Proton di sebalik pengeluaran model-model yang tidak mampu berdaya saing tersebut?
Seperti tidak pernah belajar dari kesilapan, Proton sekali lagi melakukannya apabila memperkenalkan Proton Savvy pada tahun 2005. Dengan rupa bentuk yang pelik dan tidak menarik, ditambah pula dengan menggunakan enjin dari Renault, Proton seolah-olah dilihat cuba mengulangi kembali apa yang mereka lakukan sebelum itu apabila mengeluarkan Proton Tiara. Timbul persoalan, setakat itu sahajakah para jurutera-jurutera di dalam Proton mampu memerah otak untuk menghasilkan rupa bentuk kenderaan yang menarik. Adakah rupa bentuk Savvy dapat dikatakan yang terbaik antara terbaik setelah mereka menghabiskan masa yang begitu lama, dan juga dengan kos yang tinggi untuk mengeluarkan model baru? Seperti yang dijangka, kesilapan mudah seperti itu yang dilakukan Proton akhirnya memberikan kesan besar apabila jualan Savvy ketika ini begitu lembab sekali walaupun diskaun sehingga RM6000.00 telah ditawarkan. Apatah lagi apabila Savvy dikeluarkan hampir serentak dengan pelancaran model Myvi dari Perodua, kebanyakan bakal pembeli tidak lagi berfikir lama antara dua model tersebut untuk membuat pilihan.
Model-model lain daripada Proton seperti Satria Neo dan Gen2 juga tidak menunjukkan penjualan yang memberansangkan. Walaupun penjualan model-model tersebut tidak dikira gagal sepenuhnya, namun hakikatnya Proton masih gagal mengulangi kejayaan mereka sebelum itu, terutama untuk merampas kembali kedudukan mereka daripada Perodua.
Dengan pelancaran Perodua Alza, persaingan antara Proton dan Perodua dilihat terus berterusan. Perodua yakin mereka mampu mencatat jualan sebanyak 4,000 unit bagi model tersebut. Kedudukan Proton dilihat semakin sukar selepas ini, melainkan Proton tampil dengan model baru yang lebih segar dan dengan harga yang kompetetif. Proton patut belajar dari Perodua bagaimana untuk mengeluarkan kereta yang dimahukan oleh rakyat Malaysia.
No comments:
Post a Comment